Nama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) adalah cadangan Almarhum Tn. Hj. Imam Mansor Ismail, disokong oleh Almarhum Tn. Hj. Mohd Ali, Almarhum Tn. Hj. Ramli Abd Rahman, Almarhum Pakndak Embong (Embung Abdullah) dan dipersetujui sebulat suara. PSGFM bermaksud satu badan yang menguruskan kepentingan ahli, aktiviti melalui Jawatankuasa-jawatankuasa mengikut ketetapan Perlembagaan PSGFM dengan nasihat ahli Dewan Perguruan.
Perkataan Seni Gayung Fatani Malaysia bermaksud seperti berikut:
- SENI ialah hasil ciptaan yang indah berteraskan seni budaya Melayu yang berfaedah kepada pembentukan fizikal, mental, rohani, emosi serta meningkatkan nilai kemanusiaan.
- GAYUNG bermakna silat iaitu ilmu bela diri Melayu.
- FATANI bermaksud bijaksana.
PSGFM membangunkan kurikulum pendidikan Silat Melayu tradisi gelanggang bangsal versi Tn. Syeikh Abd Rahman Tohir sebagai dasar pembentukan beberapa kurikulum Silat seperti Kurikulum Seni Silat Malaysia yang diasaskan dan disusun oleh Almarhum Guru Utama, Pendita Tn. Hj. Anuar Abd Wahab, yang kemudiannya dikenali sebagai kurukulum silat PSGFM moden piawai 2002. Kurikulum piawai ini pernah disampaikan kepada dua ratus guru silat dari pelbagai perguruan silat di Malaysia di antara tahun 2002 hingga 2004 dengan pengiktirafan daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Kurikulum moden piawai 2002 tetap mengekalkan ciri dan norma-norma keaslian silat Melayu dari aspek gerak, kaedah, rupa dan bentuk dalam seni, beladiri, sukan, muzik dan pembentukan nilai-nilai murni, akhlak dan adab berdasarkan seni budaya Melayu dan Islam.